5.0 IKLIM BILIK DARJAH

Iklim dalam bilik darjah ini berkaitan dengan pengurusan fizikal seperti pembentukan iklim fizikal, sosial, emosi dan penyusunan bilik darjah.  Suasana fizikal bilik darjah merupakan rangka yang menentukan keadaan pembelajaran dan mampu mengelakkan atau menghalang pembelajaran, dan oleh sebab inilah suasana fizikal bilik darjah harus dapat dikawal atau ditentukan oleh guru.

Menurut Pusat Perkembangan Kokurikulum (1981) iklim bilik darjah didefinisikan sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitaran dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar.

Iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif merupakan bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, elok dipandang dan teratur. Selain itu, ini juga akan memberikan semangat dan juga kesejahteraan kepada pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim dalam bilik darjah terbahagi kepada tiga aspek, iaitu :

  1. Suasana Fizikal
  2. Suasana Sosial
  3. Suasana Emosi
        Ringkasnya, iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

SUASANA FIZIKAL



Suasana fizikal bilik darjah merupakan elemen penting dalam membentuk suasana pembelajaran yang kondusif dan memberangsangkan. Persekitaran yang kondusif dapat membantu mewujudkan keselesaan pengajaran dan pembelajaran di samping mengekalkan tumpuan dan minat belajar dalam bilik darjah. Oleh itu satu kajian telah dijalankan bagi mengenalpasti hubungan antara aspek-aspek fizikal bilik darjah dengan keselesaan pengajaran dan pembelajaran.

        Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik darjah. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah penyusunan kerusi-meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

        Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar. Saiz bilik yang mencakupi memberi keselesaan kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.

        Setiap kelas dalam satu tingkatan tidak mempunyai pelajar yang ramai. Bilangan pelajar yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah di dalam bilik darjah. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik lebih-lebih lagi terdapat pelbagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Oleh itu, guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut.


 SUASANA SOSIAL

Sosial merupakan suatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada interaksi dan aktiviti di antara guru dengan murid-muridnya. Sehubungan dengan itu, bilik darjah merupakan satu sistem sosial yang interaksinya berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang dirangkan berdasarkan sesuatu strategi PdP.

        Bilik darjah merupakan persekitaran yang unik. Oleh itu, bilik darjah perlu ada gabungan elemen fizikal, emosi dan sosial. Elemen-elemen ini bakal mempengaruhi murid dan guru yang berada di dalamnya. Untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang baik, terdapat beberapa langkah yang boleh dijalankan.

 

        Guru perlu memastikan hubungan pelajar di dalam bilik darjah berada dalam keadaan baik bagi memastikan berlaku komunikasi yang baik di antara pelajar dan memastikan agar tidak berlaku perkara tidak diingini seperti buli di dalam bilik darjah. Sekiranya ini berlaku akan memberi kesan kepada pelajar tersebut dimana pelajar akan berasa tertekan. Guru juga boleh mengadakan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar, serta pelajar dengan dengan pelajar.

 

Seterusnya, kemahiran berkomunikasi juga memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang dalam satu bilik darjah. Komunikasi yang berkesan dapat dijelmakan dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, dan juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomunikasi terhadap muridnya, maka ia dapat menghasilkan satu suasana pembelajaran yang mementingkan pembentukan akhlak. Komunikasi berkesan juga berupaya menghasilkan motivasi yang berkesan kerana murid mudah menerima motivasi yang disampaikan secara berhemah dan berhikmah.

        Kesimpulannya, suasan sosial bilik darjah yang baik berupaya menjamin kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila diri dan bilik darjah berada dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Oleh itu, sebagai seorang guru, kita seharusnya mengetahui dan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk mewujudkan suasana sosial bilik darjah yang baik demi kebaikan murid.


 SUASANA EMOSI

Faktor emosi adalah merujuk kepada perasaan murid terhadap guru mereka. Suasana emosi ini akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh sifat guru dan gaya mengajarnya. Mengikut kajian, suasana emosi bilik darjah yang kondusif biasanya ditimbulkan oleh guru yang mempunyai sifat-sifat seperti penyayang, bertimbang rasa, peramah dan kecindan, serta menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan adil, mengamalkan sikap demokrasi dan tidak memilih kasih (Mok Soon Sang, 2008).

        Suasana ini merupakan suasana yang lebih penting berbanding suasana fizikal dan sosial dimana guru perlu memastikan bilik darjah dalam keadaan ceria yang dapat meningkatkan semangat pelajar untuk belajar. Terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam menjamin suasana emosi di dalam bilik darjah, iaitu suara, kemesraan, gurau senda, sikap dan ekspektasi bilik darjah serta kepimpinan dan keadaan mengajar.

Faktor emosi juga dapat dilihat melalui kepimpinan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara jenis kepimpinan guru ialah:
  • Gaya Kepimpinan Autokratik iaitu mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman sehingga mengwujudkan suasana yang tertekan dan tidak menarik serta tidak kondusif.
  • Gaya Kepimpinan Demokratik iaitu berkongsi tanggungjawab dengan murid dengan memberikan galakan bukannya dengan desakan bagi menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan.
  • Gaya kepimpinan Laissez-Faire iaitu kebebasan sepenuhnya dalam apa jua aktiviti pembelajaran sehingga menjadikan bilik darjah tidak terurus, kucar kucir, dan perhubungan antara guru dan murid menjadi tidak akrab dan tidak mesra. Selain itu, guru juga perlu peka dengan tugasan yang diberikan kepada murid berorientasikan kepada peningkatan interaksi dan pertumbuhan kognitif dalam kalangan murid-murid (Dr. Ragbir Kaur, 2008).

        Secara tuntasnya, sewaktu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, perkara-perkara seperti suara guru, sikap, kemesraan, kawalan kelas dan gaya kepimpinan dan penggunaan ganjaran akan mempengaruhi suasana emosi bilik darjah sewaktu proses pengajaran dan pembelajarn (PdP) berlangsung. Penggunaan suara guru yang jelas, berintonasi dan tidak tegang dapat mewujudkan suasana yang selesa dan tenang. Hal ini akan membolehkan pelajar berinteraksi dengan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sekian, Terima Kasih.

Disediakan Oleh:

Waniee
Nursyazwani Izwana Binti Nasrul
(D20192091555) 

Comments

TOPIK HANGAT

8.0 ANALISIS SWOT

4.0 JENIS BILIK DARJAH

7.0 PEMBENTUKAN INTERAKSI DALAM BILIK PEMBELAJARAN